Erti Sebenar Kesyukuran

Pada zaman kerajaan Islam Abbasiah, ada seorang lelaki yang alim lagi wara' tinggal di kota Baghdad. Abu Nawas namanya. Di kota tersebut terdapat sebuah kedai teh yang sering dikunjungi beliau. Ketinggian ilmu beliau dalam berfalsafah menyebabkan ramai orang mendapatkan nasihat daripadanya.

Pada suatu hari, seorang peniaga kedai runcitingin mendatangi Abu Nawas untuk mendapatkan sedikit nasihat daripada beliau. Peniaga tersebut lantas datang ke kedai teh yang sering menjadi kunjungan Abu Nawas. Malangnya pada hari itu Abu Nawas tidak datang ke kedai itu. Menurut tauke kedai Abu Nawas sudah tidak hadir selama beberapa hari. Dia mencadangkan kepada peniaga itu untuk pergi sendiri ke rumah Abu Nawas.

Sebaik sahaja tiba di rumah Abu Nawas peniaga tersebut mendapati Abu Nawas baru sahaja selesai menunaikan solat. Dia lantas bertemu dengan beliau dan menceritakan masalahnya. "Wahai Abu Nawas, aku ini seorang peniaga runcit, aku tidak punya harta yang banyak, anakku ramai namun rumahku sempit. Aku sering bersa tidak selesa tinggal di rumah. Pada firasat engkau bagaimana aku ingin kembali berasa gembira tinggal di rumah?". Abu Nawas diam seketika. Beliau kemudiannya menjawab, "Baiklah, sekarang aku mahu engkau pergi ke kedai ternakan dan beli seekor ayam. Peliharalah ayam itu di dalam rumahmu. Tiga hari kemudian datangilah aku semula". Lelaki itu kehairanan. "Rumah aku itu sempit mengapa pula engkau menyuruhku melakukan demikian?". Jawab Abu Nawas, "Lakukan apa yang aku perintahkan".

Lelaki tu kembali ke rumah dan melakukan apa yang disuruh oleh Abu Nawas. Tiga hari kemudian dia berjumpa Abu Nawas. "Bagaimana keadaan rumahmu wahai peniaga?". "Aku berasa ia semakin sempit", jawab lelaki itu dengan nada yang sedih. "Sekarang engkau pelihara pula burung dalam rumahmu.Beberapa hari lagi bertemulah denganku". Tanpa banyak soal lelaki itu mendapatkan seekor burung dan memeliharanya. Beberapa hari kemudian dia mendatangi Abu Nawas dan berkata, "Abu Nawas, rumahku kini berasa lebih sempit berbanding dahulu". Abu Nawas kemudiannya berkata, " Kini engkau pelihara pula anak keldai dalam rumahmu". Lelaki itu dengan penuh pengharapan menurut sahaja kehendak Abu Nawas. Setelah beberapa hari lelaki itu masih berasa tidak selesa dengan rumahnya namun Abu Nawas tetap meminta peniaga itu menambah koleksi peliharaannya dengan membeli seekor anak keldai dan seterusnya seekor anak unta.

Beberapa minggu kemudian Abu Nawas sendiri mendatangi lelaki itu dan bertanya tentang keadaannya."Rumahku kini terlalu sempit. Aku tidak pernah berasa sebegini tidak selesa wahai Abu Nawas," lelaki itu berkata dengan penuh kekecewaan. Abu Nawas kemudian berkata, " Jualkan peliharaanmu sedikit demi sedikit dalam masa beberapa minggu kemudian datanglah bertemuku dan ceritakan apa perasaanmu". Setelah berjaya menjual haiwan peliharaannya seperti yang disuruh oleh Abu Nawas lelaki itu mendatanginya.
"Wahai Abu Nawas, setelah aku menjual peliharaanku yang pertama rumahku berasa lebih luas. Semakin berkurangnya peliharaan di dalam rumahku aku bersa ia semakin luas". Lelaki itu kelihatan gembira kini. Abu Nawas kemudiannya berkata, "Wahai hamba Allah, sesungguhnya sempit atau luas itu hanya satu ekspretasi terhadap nikmat kurniaan-Nya oleh hamba yang tidak tahu bersyukur. Hamba Allah yang tahu bersyukur tidak akan sekali kali mempersoalkan nikmat ciptaanNya. Mereka hanya akan sentiasa memujiNya atas nikmat yang dikurniakan oleh Sang Pencipta". Lelaki itu akhir sedar akan kesilapannya dan berterima kasih terhadap Abu Nawas atas nasihat yang berguna itu.

0 comments:

Post a Comment

 

Followers

آل مناضل Copyright © 2010 by Al-Munadhil