Rahsia Kejayaan

Kejayaan. Sebut sahaja fasal hal ini semua orang berebut-rebut untuknya. Tidak kira kecil atau besar, tua atau muda, semuanya mendambakan kejayaan dalam hidup. Persaingan untuk merebut 'piala' kejayaan dalam hidup kadangkala terlalu ekstrem sehingga ada manusia yang sanggup cantas-mencatas bagi memastikan diri mereka sentiasa unggul. Persaingan ini sama sekali tidak akan berhenti sehinggalah dunia ini fana' yakni musnah.



Apa sebenarnya kejayaan ni??
Secara umumnya kejayaan merupakan hasilan ataupun produk yang terhasil daripada pengorbanan seseorang untuk mencapai matlamat tertentu. Kejayaan sememangnya dinantikan oleh setiap individu yang telah bergolok-gadai untuk sesuatu matlamat. Kadangkala individu yang masih belum mengorak langkah juga ingin merasai kemanisannya. Kejayaan merupakan satu perasaan pengalaman yang lebih bercorak subjektif. Oleh itu nilaian sebenar kejayaan bagi setiap orang adalah berbeza sama sekali. Berjaya atau tidak seseorang itu ditentukan oleh beberapa perkara.
Prinsip Hidup
Prinsip atau nilai dalam kehidupan seseorang memainkan peranan yang amat penting dalam meletakkan batu aras bagi kejayaan dalam hidup. Nilai kehidupan bukan sahaja berperanan mencorak penanda sama ada seseorang itu sudah berjaya atau tidak malah turut memainkan fungsi yang sangat besar dalam aspek kehidupan seseorang. Sebagai contoh, Ali sejak dari kecil lagi ditarbiah dengan baik oleh ibu bapa dengan ajaran Islam yang lengkap. Sudah pasti dalam kehidupan Ali perkara yang menjadi keutamaan dalam hidupnya ialah kehendak Islam itu sendiri. Ketika memilh calon isteri wanita yang berakhlak mulia, menutup aurat, dan berilmu akan menjadi kriteria utama. Berbeza pula dengan orang yang kurang penghayatan Islam yang sudah pasti memilih calon isteri yang cantik, berketurunan dan berharta. Berbicara dalam konteks kejayaan, seseorang yang berpegang teguh kepada ajaran Islam hanya akan memandang dirinya sudah berjaya sekiranya dia sudah berjaya melaksanakan seluruh perintah Allah dan meninggalkan laranganNya lantas mencapai martabat al-muttaqin seperti yang yang diidam-idamkan seperti mana kata ulama' perjuangan seorang mukmin tidak akan berakhir selagi mana ia tidak menginjak kaki di pintu syurga.
 
Alat dan matlamat
Sebagai umat Islam kita sewajarnya memandang kejayaan yang sebenar sebagai kejayaan kita untuk mendapatkan kesenangan di akhirat. Hal ini kerana alam akhirat lebih kekal jika dibandingkan dengan dunia. Allah SWT berfirman "Dan tiadalah kehidupan di dunia ini, selain daripada main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?" (Surah al-An'am 6: 32). Memiliki kereta yang cantik dan rumah yang besar bukanlah satu kesalahan. Namun kita pada hari ini sering kali menjadikan harta benda dunia sebagai kayu ukur kepada kejayaan. Seandainya beginilah mentaliti kita, kita sebenarnya sedang memandang generasi salafussoleh yang majoritinya hidup dengan penuh sederhana sebagai tidak berjaya. Tergamakkah berfikiran begitu sedangkan nikmat Islam dan iman yang kita kecapi hari ini adalah berkat hasil titik peluh mereka membantu Rasulullah dalam menyebarkan Islam. Harta benda dunia sebenarnya adalah alat untuk kita mencapai matlamat yang asli yakni mendapatkan syurga Allah. Tidak sewajarnya jika kita menjadikan alat sebagai matlamat perjuangan. Sekiranya ini berlaku nescaya maqasid perjuangan kita tidak akan tercapai. Akhir kata daripada hamba Allah yang hina ini, ingatlah, dunia ini hanya bernilai apabila dimanfaatkan untuk akhirat.

0 comments:

Post a Comment

 

Followers

آل مناضل Copyright © 2010 by Al-Munadhil